Wednesday, June 10, 2009

MRSM TRANSKRIAN





























Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang merupakan maktab yang ke-34 ditubuhkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai memenuhi hasrat dan wawasan untuk mencemerlangkan institusi pendidikan MARA (IPMA) hingga bertaraf dunia. MRSM Transkrian merupakan MRSM yang kedua didirikan di Pulau Pinang selepas MRSM Balik Pulau yang beroperasi pada tahun 1984.














Terletak di Mukim 9, Transkrian, Nibong Tebal iaitu di daerah Seberang Perai Selatan, MRSM Transkrian yang luasnya 32 hektar secara rasminya beroperasi pada 1 April 2002. Seramai 17 orang guru termasuk Pengetua yang pertama, Encik Saleh bin Osman, yang sebelum itu kebanyakannya berkhidmat di MRSM-MRSM yang lain telah melaporkan diri pada tarikh tersebut.














Cabaran yang dihadapi pada masa maktab ini baru dibuka tidak melemahkan semangat para pendidik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kegemilangan bersama. MRSM Transkrian telah menerima kumpulan penuntut sulung seramai 100 orang yang merupakan pelajar-pelajar tingkatan 4 pada 22 April 2002 manakala pelajar-pelajar tingkatan 1 yang sebelum itu ditempatkan sementara di MRSM Pontian, Johor selama 5 bulan telah melaporkan diri pada bulan Jun 2002.














Kumpulan perintis ini dengan penuh semangat telah sama-sama mengharungi jerih perit untuk menjayakan agenda pendidikan MARA di sini. Kesungguhan dan kegigihan mereka tidak sia-sia kerana apabila keputusan SPM 2003 diumumkan, mereka berjaya memperoleh Gred Purata Maktab (GPM) 2.415. Kecemerlangan ini terus menjadi tradisi dan pemangkin kepada kumpulan kedua dan ketiga yang mengambil SPM pada 2004 dan 2005 serta kumpulan pertama dan kedua yang mengambil PMR pada 2004 dan 2005. GPM SPM tahun 2004 ialah 2.705 manakala untuk tahun 2005 ialah 2.242.














MRSM Transkrian dilengkapi dengan bilik-bilik kelas, dewan besar, bilik seminar, makmal-makmal termasuk makmal komputer, makmal multimedia, makmal kemahiran hidup serta makmal reka cipta, surau, dewan makan, pusat pelajar dan pusat sumber pembelajaran. Beberapa kemudahan atau prasarana yang lain akan terus disediakan oleh pihak maktab demi memastikan keselesaan pelajar belajar . Dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN), maka mulai April 2004, suasana di sekeliling kampus bertambah ceria melalui projek pengindahan.














Kini, dengan gaya pentadbiran yang mantap dan tersendiri yang diterajui oleh Pengetua, Haji Mohd Yusoff bin Hassan dengan dibantu oleh Penolong Pengetua Hal Ehwal Akademik, Encik Shamsuri bin Mahat dan Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Puan Maimun binti Yusof serta gemblengan tenaga para guru dan kakitangan yang komited, MRSM Transkrian akan bergerak maju demi merealisasikan slogan maktab iaitu ‘BETTER THAN THE BEST’ dan moto Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah) MARA, ’Pendidikan Cemerlang Generasi Gemilang’.......

No comments:

Post a Comment